PETALING JAYA – Penjelajah Grand Slam Negara, Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin dan pelakon, Amar Baharin akan memulakan kembara berbasikal ke Tanah Suci pada 27 April ini.
Usaha murni itu bermula dari Arau, Perlis, dengan kehadiran Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai yang berkenan melepaskan kayuhan tersebut.
Menurut Amar, idea kayuhan itu tercetus selepas beliau dan Qobin sering melakukan rutin berbasikal sehingga 200 kilometer (km) seminggu.
“Setiap minggu, kami berkayuh 100 hingga 200 km. Jadi, tidak mustahil untuk kami berkayuh ke Tanah Haram,” katanya.
Sementara itu, Qobin memaklumkan, mereka akan memulakan kayuhan dari Perlis ke Bangkok, sebelum menggunakan pengangkutan udara ke India.
“Dari India, kami akan meneruskan kayuhan melalui sempadan Pakistan, Iran, dan Emiriah Arab Bersatu sebelum memasuki Arab Saudi.
“Kami tidak akan melalui Myanmar dan Bangladesh kerana kedua-dua negara tersebut sedang bergolak selain dinasihatkan oleh beberapa pengembara sebelum ini untuk mengelakkan laluan tersebut,” katanya.
Jelas beliau, misi itu bukan untuk mencipta rekod, tetapi menjadi impian beliau untuk mengembara ke Mekah melalui darat.
Kedua-dua mereka merancang untuk berkayuh sejauh 80 hingga 120km sehari dan menjangkakan tempoh perjalanan antara dua dan dua bulan setengah untuk sampai ke Mekah dengan menggunakan dana sendiri.
Orang ramai yang ingin mengikuti perkembangan dan menyokong perjalanan Qobin dan Amar boleh melayari laman sesawang www.qanda.my (akan diaktifkan pada awal April 2025) selain platform media sosial seperti TikTok, YouTube, Instagram, dan Facebook peribadi Qobin dan Amar. – KOSMO! ONLINE