MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya tidak layak mendapat bonus tambahan seandainya berjaya menjulang trofi Piala FA pada penghujung saingan musim ini.
Menurut Guardiola, skuad The Citizens mempamerkan prestasi terburuk sejak musim 2016 selepas gagal memberi saingan diharapkan pada kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) selain tersingkir awal dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala Liga Inggeris (EFL).
Bagaimanapun, City masih lagi berpeluang menamatkan saingan musim ini dengan menjulang sekurang-kurangnya satu trofi apabila berdepan Bournemouth pada suku akhir Piala FA malam ini selain mengharungi Piala Dunia Kelab 2025, Jun depan.
“Kami tidak layak diberikan sebarang bonus walaupun menang Piala FA dan Piala Kelab Dunia nanti.
“Kami tahu menjuarai Piala Kelab Dunia menjanjikan dana yang lumayan, tetapi ia masih belum cukup untuk menutup prestasi hambar dipamerkan musim ini,” katanya.
Mengulas mengenai aksi Piala FA di Stadium Vitality malam ini, Guardiola mahu pasukan tampil serius dalam usaha memburu rekod mara ke separuh akhir buat musim ketujuh berturut-turut.
“Ini adalah sasaran pasukan selain daripada layak ke saingan UCL musim depan. Kami sentiasa tampil serius pada mana-mana kejohanan dan ia terbukti apabila pasukan menjulang trofi Piala EFL empat kali berturut-turut sebelum ini.
“Peluang untuk beraksi di Wembley tidak boleh disia-siakan oleh pasukan,” katanya. – AGENSI