LONDON – Pengurus Bournemouth, Andoni Iraola optimis anak-anak buahnya mampu melakar sejarah mara ke separuh akhir Piala FA buat kali pertama meskipun menentang Manchester City pada aksi suku akhir di Stadium Vitality malam ini.
Menurut Iraola, atas kertas, skuad The Citizens kendalian Pep Guardiola adalah pilihan utama untuk melangkah ke kelompok empat kelab terbaik Piala FA tetapi pasukannya tidak akan memberi jalan mudah.
“Kami tidak bernasib baik apabila bertemu dengan City pada peringkat ini tetapi kami bertuah apabila beraksi di laman sendiri. Peluang sudah tentu sukar buat pasukan jika terpaksa bermain di tempat lawan.
“Apa yang pasti, ini adalah peluang keemasan buat pasukan jika berhasrat untuk melangkah ke pentas separuh akhir Piala FA buat kali pertama dalam sejarah kelab sekali gus beraksi di Stadium Wembley nanti,” katanya.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu turut memasang impian untuk membantu The Cherries menjulang trofi berprestij berkenaan selepas pasukannya tampil dengan aksi konsisten sepanjang kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
“Masih terlalu awal untuk memandang terlalu jauh tetapi kami tidak pernah berhenti berharap. Sekarang fokus utama adalah untuk memburu tiket ke separuh akhir dahulu, kemudian baru kita lihat bagaimana.
“Ini adalah cabaran besar buat pasukan untuk menang kerana City adalah pasukan yang berkualiti dan sudah tentu sebagai pilihan utama untuk menang kali ini,” katanya. – AGENSI