PETALING JAYA – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang agar bertanggungjawab dalam menjalankan peranan masing-masing.
Titah baginda, dalam keghairahan menyambut lebaran, sudah pasti peniaga melipatgandakan usaha mencari sumber pendapatan dengan menawarkan barang niaga yang menarik perhatian pembeli.
“Apa jua bentuk urus niaga yang dijalankan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan antaranya peniaga perlu memohon lesen atau permit perniagaan, manakala PBT pula perlu menyediakan tempat yang khusus dan selamat untuk semua pihak.
“Apabila tiba pada suatu isu atau permasalahan, ia perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar tidak melibatkan kekecohan apatah lagi kecederaan,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.
Baginda turut menasihatkan peniaga di Pahang supaya memohon lesen dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Pihak kuasa pula, titah beliau perlu berhemah dalam segala tindakan yang diambil dengan menggunakan budi bicara tanpa melibatkan sebarang kerosakan mahupun kecederaan.
Sementara itu, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah hari ini meluangkan masa menziarahi peniaga belon yang terlibat dalam insiden pergelutan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat lalu.
Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, atau lebih dikenali sebagai ‘abang belon’ sedang menerima rawatan di Hospital Serdang.
Simpati dengan nasib yang menimpa pemuda dari Jerantut itu, Tengku Arif Bendahara yang tiba pada pukul 12.30 tengah hari bertanyakan keadaan kesihatan Muhammad Zaimuddin dan menyampaikan kurniaan peribadi daripada Sultan Pahang. – KOSMO! ONLINE