BOLOGNA – Francesco Bagnaia mungkin tidak cemerlang seperti rakan sepasukannya, Marc Marquez, namun juara dunia dua kali itu percaya musim sebenar Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025 hanya akan bermula apabila tiba Grand Prix (GP) Qatar pada 13 April ini.
Pelumba utama Ducati itu mengakui susunan perlumbaan dalam kalendar memberi kelebihan kepada Marquez yang mendominasi dua perlumbaan pertama musim ini, namun trek yang lebih sesuai dengan gaya tunggangannya masih menanti.
“Jika kami memulakan kejuaraan dunia di Qatar atau Portimao (Portugal), keadaannya pasti berbeza. Tetapi bukanlah saya memulakan musim dengan teruk.
“Saya masih berjaya menaiki podium dan menamatkan perlumbaan di tempat keempat di Argentina. Cuma Marc dan Alex (Marquez) melakukan kerja yang lebih baik,” kata Bagnaia.
Setakat ini, Bagnaia gagal bersaing untuk kemenangan di Thailand dan menamatkan GP Argentina di tempat keempat, satu keputusan yang kurang memuaskan bagi seorang juara bertahan, namun dia kekal optimis untuk kembali ke prestasi terbaiknya.
Minggu ini, Grand Prix Americas berlangsung di Litar Americas (COTA), Texas iaitu antara litar bukan kegemaran Bagnaia berbanding Marquez yang sudah memiliki rekod tujuh kemenangan di venue berkenaan menjadikannya ‘istimewa’ buat pelumba Sepanyol itu.
“Litar ini lebih baik sedikit berbanding Argentina dan saya boleh memanfaatkan dari segi brek serta perubahan arah,” jelas Bagnaia mengenai strateginya di COTA.
Bagnaia juga mendedahkan, dia telah banyak berlatih dan menganalisis kelemahannya bagi memastikan peningkatan prestasi.
“Kita akan lihat jika saya dapat membuat peningkatan dalam perlumbaan hujung minggu ini,” tambahnya. – AGENSI