PETALING JAYA – Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM10 juta untuk permulaan kepada rakyat Myanmar yang terkesan akibat tragedi gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu juga sebagai manifestasi tanggungjawab dan solidariti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
“Saya telah mengarahkan Menteri Luar Negeri untuk mengetuai misi kemanusiaan ke Myanmar minggu hadapan.
“Lawatan ini bertujuan untuk menyatakan sokongan padu Malaysia terhadap operasi mencari dan menyelamat yang sedang giat dijalankan, termasuk oleh pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah memulakan penugasan di lapangan bermula hari ini,” katanya dalam satu hantaran di X hari ini.
Katanya, Malaysia menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan tindakan kolektif dalam kalangan Negara-Negara Anggota ASEAN amat penting dalam menangani situasi kemanusiaan seperti ini.
“Keutamaan ASEAN dalam memelihara kesejahteraan rakyat serantau harus diterjemahkan menerusi tindakan yang cepat, berkesan, dan bersifat menyeluruh.
“Dalam semangat perpaduan ASEAN, Malaysia akan terus berunding dan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN bagi menyelaras bantuan yang diperlukan oleh Myanmar, dan memastikan setiap usaha yang digerakkan memberi impak yang bermakna kepada mangsa-mangsa yang memerlukan,” katanya.
Katanya, negara kekal komited untuk memperkukuh perpaduan serantau dan memacu agenda kemanusiaan ASEAN yang berteraskan nilai kasih sayang, tanggungjawab bersama, dan solidariti.- KOSMO! ONLINE