fbpx

Malam terakhir pekena ‘soq’ nasi kandar, sanggup beratur sejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nasi kandar lamb shank antara hidangan yang menjadi pilihan pelanggan tempatan termasuk anak perantau.

GEORGE TOWN – Penggemar makanan signatur Pulau Mutiara, nasi kandar sanggup beratur hampir sejam semata-mata mahu menikmati hidangan ‘soq’ terakhir di Restoran Nasi Kandar Sulaiman di Jalan Air Itam di sini, awal pagi tadi.

Soq merupakan loghat utara yang bermaksud sahur.

Rata-rata pelanggan terdiri anak tempatan dan perantau tidak mahu melepaskan peluang merasai kenikmatan hidangan popular itu terutama menu baharu di bulan Ramadan, nasi kandar lamb shank.

Pelanggan sanggup beratur hampir sejam semata-mata mahu menikmati nasi kandar di Restoran Nasi Kandar Sulaiman, Jalan Air Itam awal pagi tadi.

Suasana orang ramai beratur turut dikongsikan di Facebook Nasi Kandar Sulaiman hari ini sebelum operasi perniagaan tersebut ditutup sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Alhamdulilah…selesai sudah berniaga malam terakhir bulan puasa tahun ini. Sekejap sahaja masa berlalu. Rasa gembira dan syukur kerana kami dapat berniaga dengan tenang tanpa apa-apa musibah.

“Pelanggan yang datang semua bagus-bagus. Alhamdulilah Allah memudahkan. Apa-apa pun tetap kami akan rindu berniaga malam.

“Selepas ini, tahun depan pada bulan puasa baru kami akan berniaga malam,” katanya yang memberitahu sebelum ini restoran itu beroperasi waktu siang.

Sementara itu, pengusahanya, Mirzan Mohamed Yasin berkata, pelanggannya beratur awal walaupun operasi bermula pada pukul 11 malam.

“Pelanggan beratur sehingga 500 meter dari premis dan berdiri hampir sejam bagi menunggu giliran.

“Hari ini merupakan hari terakhir kami beroperasi bagi menyambut Aidilfitri. Jika hari biasa, kira-kira 500 hingga 1,000 pelanggan datang ke sini, belum lagi hujung minggu dan hari terakhir dan ditambah pula cuti sekolah,” ujarnya kepada Kosmo! di sini.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mengharapkan agar premis berkenaan dibuka 24 jam setiap hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI