fbpx

Lelaki tumbuk pemandu wanita di Senawang diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar tular seorang lelaki menumbuk muka pemandu Perodua Axia selepas anaknya dipercayai dilanggar ketika melintas jalan di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, Seremban, semalam.

SEREMBAN – Polis menahan seorang lelaki dipercayai anggota tentera didakwa menumbuk pemandu wanita dalam kejadian kemalangan berhampiran Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini bagi membantu siasatan.

Katanya, insiden berlaku pada pukul 10.15 malam membabitkan sebuah kereta dan dua pejalan kaki di Jalan Persiaran Senawang 4.

“Lelaki itu ditahan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap pemandu kereta sehingga mangsa lebam di rusuk kanan dan bengkak di belakang kepala.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan, siasatan awal mendapati kereta Perodua Axia yang dipandu wanita berusia 28 tahun dalam perjalanan menghala ke Senawang.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, pejalan kaki wanita berusia 34 tahun dan anaknya berusia tujuh tahun melintas jalan. Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak dan melanggar pejalan kaki,” katanya.

Ujarnya, ekoran kemalangan itu pejalan kaki dan anaknya cedera ringan. Mereka dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk mendapatkan rawatan. Siasatan dijalankan di bawah Kaedah 10, Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI