SEREMBAN – Seorang lelaki yang dipercayai berang selepas anaknya dilanggar menumbuk pemandu kereta jenis Perodua Axia dalam kejadian di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, di sini, semalam.
Video berdurasi 22 saat yang tular di TikTok memaparkan lelaki itu menyerang wanita terbabit yang berada di dalam kereta sebelum dipercayai menumbuk mangsa sebanyak dua kali.
Kejadian dipercayai berlaku apabila kanak-kanak tersebut mengekori bapanya melintas jalan.
Dalam video berkenaan, pemandu wanita membuka pintu sebelum lelaki itu cuba mencederakan mangsa.
Bagaimanapun, lelaki itu sekali lagi dilihat menumbuk pemandu wanita yang cuba mengelak dan masuk ke dalam kereta.
Tindakan lelaki itu cuba dihalang seorang individu yang berada di lokasi.
Dalam pada itu, melalui perkongsian akaun TikTok Fattyaazi menceritakan kisah sebenar daripada adik mangsa yang mengatakan kakaknya secara tidak sengaja melanggar kanak-kanak terbabit disebabkan penglihatan terhad ekoran terhalang kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapannya.
Adik mangsa memaklumkan, laporan polis dibuat sejurus selepas kejadian dan Kosmo! sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak polis. – KOSMO! ONLINE