MARAN – Persiapan Hari Raya Aidilfitri sebuah keluarga di Felda Kenanga Jengka 7 di sini musnah sekelip mata selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran menjelang waktu berbuka puasa semalam.
Meskipun bersyukur semua penghuni selamat dalam kejadian pukul 6.10 petang itu, namun mangsa terkilan kerana tiada barangan yang sempat diselamatkan.
Lebih menyedihkan, semua persiapan menyambut Aidilfitri yang dibeli sejak seminggu lalu musnah dalam sekelip mata.
Yasran Mustaffa, 48, berkata, semasa kejadian hanya dia, ibu dan isteri berada di dalam rumah, manakala lima lagi ahli keluarga lain keluar membeli barangan keperluan di Bandar Tun Abdul Razak Jengka.
“Ketika memotong tembikai saya terdengar letupan di bilik tengah, saya sangka bunyi mercun dan bergegas ke bilik berkenaan sebelum mendapati api sudah marak.
“Saya tidak sempat menyelamatkan baju raya dan kuih raya. Semuanya hangus terbakar dan kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya.
Menurut Yasran, dia dan keluarga kini menumpang di rumah jiran sebelum mencari kediaman sementara menanti rumah baharu dibina di tapak asal.
Sementara itu, Fatimah Awang, 65, berkata, dia terharu dengan keprihatinan pelbagai pihak termasuk Felda, Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Kami Anak Felda, Majlis Belia Felda Malaysia, Pengurusan rancangan dan ketua kampung yang turun padang membantu keluarganya. – KOSMO! ONLINE