MADRID – Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti optimis anak-anak buahnya tidak akan kibarkan bendera putih dalam usaha mengekalkan kejuaraan La Liga musim ini.
Sebagai rekod, skuad The Galacticos terus memberi tekanan ke atas Barcelona yang kini memimpin carta La Liga selepas melakar kemenangan 3-2 ke atas Leganes awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, penyerang sensasi Real, Kylian Mbappe meledak dua gol dengan satu lagi jaringan disudahkan oleh Jude Bellingham.
“Kita tidak beraksi dengan teruk ketika bertemu Leganes tetapi harus diakui pasukan tidak bermain seperti biasa. Mereka memberi tekanan yang hebat hingga pemain agak bergelut untuk menang.
“Apa yang penting, kita berjaya dapatkan tiga mata dan ini adalah bukti pasukan tidak akan menyerah kalah hingga penghujung musim nanti.
“Saya percaya ada tiga kelab yang berpotensi untuk menang liga iaitu Barcelona, Atletico Madrid dan pasukan kami,” katanya. – AGENSI