JAKARTA – Seorang ketua kampung di Musi Rawas, wilayah Sumatera Selatan ditangkap berdua-duaan dengan seorang wanita berstatus janda, lapor portal berita Okezone kelmarin.
Kejadian berlaku pada 24 Mac lalu sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan).
Berdasarkan sebuah video tular, sekumpulan penduduk dilihat menyerbu sebuah rumah di Kampung Triwikaton.
Sebilangan penduduk didengari memarahi kedua-dua individu yang ditangkap tersebut, malah ada antara mereka yang mengeluarkan kata-kata kesat.
Ketua Daerah STL Ulu Terawas, Pahib ketika ditanya mengesahkan bahawa individu tersebut ialah ketua kampung di kawasan STL Ulu Terawas.
“Betul, kita sudah panggil ketua kampung. Serbuan memang sudah diadakan dan pihak keluarganya turut mengesahkan perkara itu,” ujarnya.
Tambah Pahib, pihaknya akan menyiasat kes itu lebih lanjut dan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas kedua-dua pelaku. – AGENSI