KUANTAN – Kerajaan negeri akan memberi bantuan sewajarnya kepada peniaga belon yang dirawat di hospital selepas terbabit dalam insiden pergelutan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau meminta Unit Perantau Anak Pahang melihat keperluan dan memberi bantuan sewajarnya kepada lelaki yang berasal dari Jerantut itu.
“Saya ambil maklum individu yang terlibat dalam insiden melibatkan penjaja belon dan penguat kuasa DBKL baru-baru ini merupakan anak kelahiran Pahang.
“Terima kasih kepada Norsafinaz dan Razaira Rashid daripada UMNO Bahagian Jerantut yang mewakili saya menyampaikan sumbangan peribadi kepada ‘abang belon’.
“Dalam masa sama titah Sultan Pahang agar penjaja dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memahami tanggungjawab masing-masing wajar kita hayati dan fahami agar insiden seperti ini dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya hari ini.
Menurut Wan Rosdy, beliau difahamkan kedua-dua pihak membuat laporan polis dan adalah wajar tindakan seterusnya bergantung kepada laporan siasatan pihak berkuasa.
Beliau berharap kehadiran Syawal akan membawa kejernihan kepada semua pihak berhubung isu tersebut.
Sebelum ini tular di media sosial video memaparkan pergelutan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL dalam kejadian di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di ibu negara.
Video tersebut bukan sahaja mendapat pelbagai reaksi daripada orang awam, malah perhatian menteri dan pemimpin politik.
DBKL dalam kenyataannya sebelum ini berkata, sebelum kejadian pukul 11.50 malam itu, anggota penguat kuasa yang melakukan rondaan melihat kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR.
Katanya, anggota penguat kuasa memberi teguran dan kebanyakan penjaja tanpa lesen memberi kerjasama dengan beredar dari kawasan tersebut, namun ia tidak berlaku kepada peniaga belon berkenaan. – KOSMO! ONLINE