fbpx

Bimbang juga kalau ada letupan bom, tapi kami rindu..

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakyat dari Malaysia yang berurusan di Jabatan Imigresen Thailand, Sungai Golok, Thailand sebelum memasuki negara itu baru-baru ini. – ROHANA ISMAIL

RANTAU PANJANG – Rakyat Malaysia yang mempunyai ahli keluarga dan saudara-mara di Selatan Thailand tetap meneruskan tradisi pulang ke kampung mereka di negara jiran itu untuk menyambut Aidilfitri sama se­perti tahun-tahun sebelum ini.

Sebelum ini, kebanyakan daripada mereka mahu menangguhkan rancangan untuk pulang beraya di wilayah itu kerana khuatir kejadian letupan bom dan tembakan di Sungai Golok pada 8 Mac kembali berulang.

Keadaan semasa yang sema­kin tenang ketika ini menyebabkan mereka mengubah keputusan dan meneruskan tradisi pulang ke Selatan Thailand untuk beraya di sana.

Seorang peniaga, Mat Yusof Ismail, 50, berkata, dia sebelum ini sudah membuat keputusan untuk membatalkan hasrat pulang beraya di rumah keluarga isteri di Tak Bai apabila melihat keadaan di wilayah Selatan Thailand agak tegang pada awal Ramadan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat ahli keluarga di sana, terdapat letupan bom kecil-kecilan yang tidak melibatkan mangsa di beberapa kawasan di wilayah tersebut sehingga pertengahan puasa lalu.

“Saya dan keluarga sentiasa mengikuti perkembangan insiden letupan bom kerana khua­tir keselamatan saudara mara di sana. Selepas beberapa siri letupan bom, keadaan di wilayah itu semakin tenang terutamanya menuju ke akhir Ramadan.

“Kami sekeluarga langsung tidak pulang ke Tak Bai sepanjang bulan puasa. Jadi, saya memang akan pulang pada hari terakhir puasa untuk menyambut Syawal bersama ahli keluarga di sana pada hujung bulan ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mat Yusof berkata, dia berharap agar tiada kejadian letupan bom atau tembakan berlaku dalam masa terdekat di wilayah tersebut kerana insiden tersebut mungkin akan merencatkan pe­rancangannya untuk beraya.

Jelasnya, meskipun sudah biasa dan pernah melalui situasi tegang di Tak Bai, dia tetap berhati-hati, malah tidak mahu merisikokan nyawa keluarganya semata-mata untuk beraya.

Seorang pekerja swasta, Zakaria Abdullah, 45, berkata, dia pada awalnya merasa sedih kerana khuatir tidak dapat pulang beraya di rumah keluarga isterinya di Narathiwat, Thailand.

Katanya, insiden letupan bom dan tembakan di Sungai Golok baru-baru ini membuatkan dia lebih berhati-hati untuk masuk ke sempadan dalam tempoh terdekat.

“Anak-anak dan isteri pada awalnya merajuk apabila saya membuat keputusan untuk tidak pulang ke Narathiwat pada Hari Raya Aidilfitri atas faktor ke­selamatan.

“Apabila melihat keadaan semasa di sana semakin reda, saya akhirnya mengubah keputusan dan kami akan balik ke kampung dua hari sebelum 1 Syawal.

“Saya berharap keadaan aman di wilayah itu kekal dan tidak mahu beraya dalam keadaan takut. Bimbang juga jika ada letupan bom atau peluru sesat semasa beraya.

“Segala kelengkapan raya untuk dibawa pulang ke Thailand sudah dibeli dan kami sekeluarga hanya menunggu masa sahaja untuk masuk ke sempadan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama sanak-saudara di sana,” ujarnya.

Bagi seorang peniaga, Mohd. Irwan Johari, 30, berkata, dia tidak sabar untuk pulang beraya di Sungai Golok, Thailand kerana itu adalah aktiviti keluarganya saban tahun.

“Tidak perlu risau lagi kerana insiden letupan bom sudah reda. Keadaan semasa ketika ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang mempunyai saudara di Thailand untuk berkumpul di hari raya nanti,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, tiga letupan yang berlaku di beberapa lokasi di pekan Sungai Golok pada 8 Mac lalu telah mengakibatkan dua sukarelawan pasukan keselamatan terbunuh, manakala 11 orang lagi cedera.

Kejadian turut menggegarkan rumah-rumah yang berada di sempadan Malaysia-Thailand di daerah itu.

Gegaran yang disusuli bunyi tembakan berdas-das itu dirasai pada pukul 8.20 malam waktu Malaysia ketika kejadian selepas penduduk baru selesai berbuka puasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI