fbpx

Jurulatih lega kemudahan Taska Team MAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH hadir sewaktu majlis pelancaran Taska Team MAS di ISN, Bukit Jalil pada Khamis lalu. - KBS MALAYSIA

PEMBUKAAN pusat penjagaan kanak-kanak Taska Team MAS di Institut Sukan Negara (ISN) memberi kelegaan kepada para jurulatih dan atlet yang berkhidmat di KL Sports City, termasuk jurulatih bola jaring Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Siti Norfarhana Mustafa.

Inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu membolehkan warga sukan menjalani latihan dan tugas mereka dengan lebih tenang, tanpa perlu khuatir tentang penjagaan anak-anak.

Menurut Farhana, kewujudan pusat penjagaan tersebut sangat membantu kehidupannya sebagai seorang jurulatih yang mempunyai jadual padat setiap hari.

“Sebagai seorang jurulatih, kewujudan Taska Team MAS ini sangat memudahkan. Saya sangat berterima kasih atas inisiatif yang diberikan oleh KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN.

“Saya perlu menjalani latihan seawal 6.45 pagi hingga 8 pagi, jadi dengan taska ini yang mula beroperasi pada pukul 7 pagi, ia benar-benar membantu,” katanya.

Taska Team MAS yang dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Khamis lalu mampu menampung sehingga 70 kanak-kanak dan dikendalikan oleh staf terlatih di bawah ISN.

Selain memudahkan urusan penjagaan anak, Farhana turut mengakui kemudahan dan fasiliti disediakan di taska tersebut setanding dengan pusat penjagaan lain, malah lebih baik kerana menggunakan kurikulum Permata.

“Kalau kita lihat, cikgu-cikgu di sini telah dilatih dalam silibus Permata, jadi saya rasa dengan kemudahan, fasiliti dan peralatan yang digunakan, ia sangat membantu dan berkualiti,” katanya lagi.

Inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat kepada jurulatih seperti Farhana, tetapi juga kepada atlet dan warga sukan lain yang berkhidmat di KL Sports City sekali gus membolehkan mereka fokus pada latihan dan tugasan tanpa mengabaikan keperluan keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI