fbpx

Risau anak 4 bulan stres, Intan Najuwa tak balik raya di JB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mengutamakan keselesaan anak, Intan Najuwa dan suami sepakat menyambut hari raya di Kuala Lumpur

PETALING JAYA – Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, pelakon Datin Intan Najuwa memilih untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur.

Menurut Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, keputusan itu diambil kerana dia tidak mahu anaknya yang baru berusia empat bulan tertekan dalam kesesakan lalu lintas yang teruk.

“Tahun ini, Team Raya KL untuk kami. Memang sukar kerana sebelum ini tidak pernah terlepas sambut perayaan di Johor Bahru.

“Ini kerana Lunara (anak) masih terlalu kecil untuk menghadapi masalah kesesakan lalu lintas yang teruk.

“Kami tidak mahu membiarkan dia melalui tekanan menempuhi perjalanan yang panjang,” katanya dalam hantaran InstaStory.

Dalam masa sama, pelakon drama Saat Kau Takluk Cinta Ini itu yakin dapat melalui situasi beraya di ibu kota walaupun memberi kesan buat dirinya.

“Meskipun kami tidak dapat berada di rumah nenek tahun ini, fikiran saya sentiasa bersama keluarga di Johor.

“Buat ibu bapa, mentua dan adik-beradik saya, insya-Allah saya dan suami dapat melalui situasi ini bersama.

“Ini kali pertama raya tanpa keluarga besar kami dan perkara tersebut memberikan satu tamparan hebat kepada kami,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Intan turut memberitahu bahawa dia tidak yakin untuk membawa puterinya menaiki kapal terbang kerana bimbang anaknya akan tertekan.

“Bagi mereka yang tertanya-tanya kenapa kami tidak menaiki kapal terbang, saya tidak bersedia membawa anak bersama dengan segala tekanan.

“Sejujurnya, saya agak gementar untuk terbang sebab kami tidak pernah ke mana-mana buat masa ini.

“Namun, semuanya baik-baik sahaja. Keluarga kami pun merancang untuk datang ke Kuala Lumpur pada hari raya kedua, mudah-mudahan,” jelasnya.

Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan Datuk Ahmad Azraf Azman pada Ogos 2023.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Imane Lunara pada 15 Disember tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI