PETALING JAYA – Peniaga belon yang tular ekoran insiden pergelutan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima tajaan umrah daripada pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Dalam hantaran di Facebook, Ebit Lew berkongsi momen menyentuh hati ketika menziarahi peniaga dikenali sebagai Zaim yang mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang belakang.
“Alhamdulillah, dapat ziarah abang belon Zaim. Sampai (hospital) Zaim peluk menangis kuat-kuat. Ustaz, saya nak raya. Tolong saya. Allahuakhbar, berat ujian Zaim.
“Saya hadiahkan (tajaan) umrah bersama saya dan WeTime Travel & Tours apabila beliau sembuh nanti. Doakan ya,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Menurut Ebit Lew, beliau sempat berbual dengan ibu bapa Zaim dan merasai kesedihan serta keperitan yang dialami oleh pasangan suami isteri tersebut.
Sebelum ini tular di media sosial satu video memaparkan pergelutan melibatkan seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL dalam kejadian di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.
Sebelum ini DBKL menjelaskan peniaga belon itu sudah diberi teguran kali ketiga untuk beredar sebelum bertindak agresif dan menolak anggota penguat kuasa.
Kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu berlaku ketika penguat kuasa DBKL yang melakukan rondaan melihat kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR.
Anggota penguat kuasa DBKL kemudian memberi teguran dan kebanyakan penjaja tanpa lesen memberi kerjasama dengan beredar dari kawasan tersebut, namun ia tidak berlaku kepada peniaga belon berkenaan. – KOSMO ONLINE