BANDAR GAZA – Hamas mengumumkan bahawa ia menyokong cadangan gencatan senjata baharu untuk Gaza yang akan menyaksikan lima lagi tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran untuk gencatan senjata selama 50 hari.
Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) ketika memetik pemimpin Hamas paling kanan di luar Gaza, Khalil al-Hayyam sebagai berkata, kumpulan pejuang itu telah meluluskan draf perjanjian yang dihantar oleh pengantara Mesir dan Qatar.
Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu kemudian berkata, ia ada menerima cadangan tersebut, namun mengemukakan cadangan balas sebagai tindak balas.
Jika dipersetujui, perjanjian gencatan senjata terhad baharu itu mungkin berlangsung sejajar dengan cuti perayaan Aidilfitri.
Rundingan itu dibuat ketika tentera Israel meneruskan serangan udara di seluruh Gaza dan menjalankan operasi darat di Rafah selepas gencatan senjata yang dipersetujui pada Januari lalu gagal awal bulan ini.
Semasa fasa pertama perjanjian itu, Hamas membebaskan 33 tebusan. Kumpulan itu dianggap masih memegang 59 tahanan walaupun tidak semuanya dikatakan masih hidup.
Hamas sebelum ini berkeras untuk meneruskan rundingan fasa kedua yang akan menyaksikan pembebasan semua tebusan Israel, sebagai balasan kepada pengunduran sepenuhnya tentera Rejim Zionis di Gaza serta menamatkan perang.
Namun, rundingan itu tidak pernah bermula atas keengganan Israel.
Israel dan Amerika Syarikat sebaliknya mencadangkan agar fasa pertama gencatan senjata yang tamat sebulan lalu, harus dilanjutkan. Ia tidak mempunyai jaminan jelas bahawa perang akan berakhir. – AGENSI