ALOR SETAR – Pengendali JDT, Hector Bidoglio menyifatkan para pemainnya telah menunjukkan momentum yang sangat baik bagi menunaikan tanggungjawab untuk meneruskan rentak kemenangan Harimau Selatan yang dikenali sebagai sebuah pasukan besar.
Menurut Bidoglio, perkara itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan dengan para pemain ketika ini telah menunjukkan falsafah bola sepak yang betul dalam setiap perlawanan.
Namun katanya, semua pihak yang berada dalam pasukan itu tidak boleh berhenti daripada berkembang bagi meraih lebih banyak kejayaan buat JDT.
“Anda tahu JDT merupakan sebuah pasukan besar, jadi kami memiliki tanggungjawab untuk memastikan rentak kemenangan pasukan ini berterusan.
“Langkah ini tidak mudah tetapi kami sedang menunjukkan falsafah bola sepak yang betul. Saya gembira dengan para pemain, kakitangan kelab dan sentiasa berterima kasih kepada pemilik pasukan, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa tahu cara terbaik bagi memotivasikan pemain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membenam KDA FC 6-1 di Stadium Darul Aman, malam tadi. – KOSMO! ONLINE