PASUKAN Idemitsu Honda Racing Malaysia tampil dengan barisan pelumba berpengalaman bagi menghadapi saingan sengit Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025.
Pasukan itu mengesahkan penyertaan dalam tiga kelas utama ASB1000, SS600, AP250 dan dijangka menjadi pencabar podium di setiap kategori.
Honda mempertaruhkan pelumba Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Zaqhwan Zaidi sebagai sandaran utama dalam kelas perdana ASB1000 bersama Azroy Hakeem Anuar.
Azroy yang bakal beraksi buat kali pertama dalam kelas 1000cc di pentas ARRC optimis dia mampu memberikan saingan hebat bersama jaguh-jaguh Asia.
“Tahun pertama di ASB1000 adalah cabaran baharu. Saya pernah berlumba dengan jentera 1000cc di MSBK, tetapi saingan ARRC lebih mencabar.
“Apa pun, saya bertuah kerana mempunyai rakan sepasukan berpengalaman seperti Zaqhwan.
“Sasaran utama adalah bersaing dengan pelumba terbaik. Saya tak letak sasaran tinggi kerana ini adalah tahun pertama saya. Jika ada peluang, saya mahu ke podium,” kata Azroy.
Kategori SS600 menyaksikan Honda Racing Malaysia mempertaruhkan trio berbisa, Khairul Idham Pawi (SuperKIP), Helmi Azman dan bekas pelumba Moto3, Syarifuddin Azman (Damok).
Khairul Idham yang pernah mencipta nama di pentas Kejuaraan Dunia Moto3, Moto2 dan WSBK dijangka menjadi taruhan utama pasukan.
Dalam kategori AP250, pelumba muda, Irfan Haykal diberi kepercayaan untuk membawa cabaran Honda Racing Malaysia.