PASIR GUDANG – Seorang bayi perempuan berusia setahun maut selepas digilis kereta yang dipandu bapa kandungnya dalam kejadian di Taman Desa Harmoni, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku ketika bapa mangsa berusia 27 tahun sedang mengalihkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dari garaj rumahnya.
“Sewaktu mengundurkan kenderaan, lelaki itu terdengar bunyi dari arah belakang tayar sebelah kiri.
“Setelah turun untuk memeriksa, pemandu SUV itu mendapati bayinya berada di belakang kenderaan dalam keadaan berlumuran berdarah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail di sini dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala semasa menerima rawatan.
Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE