RIYADH – Arab Saudi dan beberapa negara Arab Teluk yang lain akan menyambut 1 Syawal hari ini, namun negara-negara Asia Barat lain tidak akan menyambutnya sehingga esok (Isnin).
“Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa esok (hari ini), Ahad, 30 Mac 2025, adalah hari pertama Aidilfitri,” kata Mahkamah Diraja Arab Saudi dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media rasmi negara itu.
Sambutan 1 Syawal yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan ditentukan dengan melihat anak bulan mengikut kalendar Hijrah.
Selain Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar juga mengumumkan menyambut Aidilfitri hari ini.
Namun negara jiran seperti Oman dan Jordan, serta Iran yang majoriti penduduknya berfahaman Syiah, menyambut 1 Syawal pada Isnin kerana menurut mereka, anak bulan masih belum kelihatan.
Mesir dan negara-negara Afrika Utara lain adalah turut sama.
Sementara itu, agensi berita Palestin, WAFA melaporkan, Mufti Besar Baitulmuqaddis dan Palestin, Sheikh Mohammed Hussein secara rasmi mengumumkan Aidilfitri disambut pada hari ini.- AFP