MANDALAY – Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda Myanmar dan Thailand melepasi 1,600 orang semalam ketika penyelamat menggali runtuhan bangunan dalam usaha mencari mangsa yang terselamat.
Gempa cetek berkekuatan 7.7 magnitud melanda barat laut bandar Sagaing di tengah Myanmar awal petang kelmarin, diikuti beberapa minit kemudian dengan gempa susulan 6.7 magnitud.
Gempa bumi itu memusnahkan bangunan, merobohkan jambatan dan merosakkan jalan raya di Myanmar, dengan kemusnahan besar-besaran dilihat di Mandalay yang merupakan bandar kedua terbesar negara itu.
“Kami memerlukan bantuan,” kata Thar Aye, 68, seorang penduduk Mandalay.
“Kami tidak mempunyai apa-apa (bantuan),” tambahnya.
Sekurang-kurangnya 1,644 orang terbunuh dan lebih 3,400 cedera dengan sekurang-kurangnya 139 lagi hilang, kata pemerintahan junta dalam satu kenyataan.
Namun, dengan komunikasi yang terganggu teruk, skala sebenar bencana itu kini mula dilihat di negara terpencil yang diperintah tentera tersebut, manakala jumlah korban dijangka meningkat dengan ketara.
Sementara itu, angka kematian di Bangkok meningkat kepada 17 orang hari ini, kata pihak berkuasa bandar itu.
Pihak Berkuasa Metropolitan Bangkok berkata, 32 orang cedera dan 83 masih belum ditemui, dengan kebanyakannya di tapak pembinaan blok menara 30 tingkat yang runtuh apabila gempa bumi berlaku. – AFP