KUALA TERENGGANU – Sebuah kedai barangan elektrik di Gong Badak, Kuala Nerus mendakwa kerugian RM40,580.83 akibat perbuatan pecah amanah salah seorang pekerja pada akhir tahun lalu.
Kerugian tersebut didakwa sebahagian wang hasil jualan kedai tersebut yang tidak dimasukkan wanita berusia 24 tahun terbabit sejak 30 September tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pada mulanya, pengurusan mengesan wang hasil jualan berjumlah keseluruhan RM57,378 tidak masuk ke dalam akaun syarikat.
“Pekerja wanita terbabit yang merupakan ketua pasukan cawangan kedai barangan elektrik berkenaan merupakan individu yang bertanggungjawab memasukkan wang hasil jualan ke akaun syarikat.
“Berdasarkan soal siasatan dalaman, suspek mendakwa wang RM57,378 dipegang sementara ibunya yang menetap di Besut tetapi telah hilang pada 5 November lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, perbuatan pekerja wanita terbabit melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan syarikat iaitu memasukkan wang hasil jualan ke akaun syarikat dalam tempoh tiga hari selain tidak membawanya keluar dari luar daerah premis perniagaan.
Beliau berkata, pada mulanya, syarikat tersebut cuba bertolak ansur apabila pekerja wanita terbabit berjanji memulangkan semula wang hasil jualan didakwa hilang tersebut.
Azli berkata, begitupun, wanita berkenaan hanya melunaskan RM16, 797.17 sehingga 28 Februari lalu menyebabkan dia dipecat dan baki RM40,580.83 didakwa masih belum dibayar sehingga kini.
“Pengurus syarikat tersebut yang mengesyaki wang itu telah disalah guna telah membuat laporan polis pada pukul 1.50 tengah hari, kelmarin,” katanya. – KOSMO! ONLINE