PETALING JAYA – Berdasarkan hisab dan juga kriteria Imkanur Rukyah iaitu kenampakan anak bulan Syawal telah mencukupi, dijangka tiada kejadian hari raya mengejut pada tahun ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu video ringkas di laman sosial Instagram rasmi mereka sebentar tadi menjelaskan, ketinggian anak bulan Syawal yang berada lebih daripada ketinggian ufuk iaitu lebih dari tiga darjah.
“Mengikut hisab kita tahun ini adalah lebih 10 darjah dan umur anak bulan itu sendiri juga telah mencecah 20 hingga 24 jam. Jadi kemungkinan untuk kita mendapat lihat anak bulan itu sungguh cerah.
“Tahun ini kemungkinan kita akan dapat beraya seperti yang telah ditetapkan di dalam takwim kita,” jelas video tersebut.
Namun begitu, diingatkan keputusan muktamad adalah tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. – KOSMO! ONLINE.