BENTONG – Pengguna laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berhadapan dengan kesesakan luar biasa mulai malam semalam apabila perantau mula pulang ke kampung.
Jika tempoh perjalanan biasa dari Gombak ke Bentong dengan jarak 49 kilometer sebelum ini tidak sampai sejam namun pengguna jalan raya terpaksa berhadapan kesesakan selama kira-kira tiga jam.
Berdasarkan kenyataan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kira-kira pukul 11 malam semalam, berlaku kesesakan 22 kilometer dari Plaza Tol Gombak hingga Kilometer 40.9 KLK dan kesesakan 6.7 kilometer (km) dari Kilometer 48 hingga Kilometer 54.7 KLK dekat Bukit Tinggi manakala kesesakan sejauh 1.6 km dari Kilometer 57.9 hingga 59.5 Lentang ke Bentong.
Seorang pengguna jalan raya yang berasal dari Bentong, Ahmad Saifulzaman Abdul Rahim berkata, dia terpaksa menghadap kesesakan selama tiga jam perjalanan dari Gombak ke Bentong selepas membuat keputusan ke Jalan TAR bersama keluarga bagi membeli kelengkapan hari raya.
“Kami turun petang semalam ddan berbuka di Kampung Baru sebelum berjalan di jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan hala balik kami menghadap pengalaman jem.
“Orang tak nak ‘jem’ aku cari ‘jem’ dari Tol Gombak ke Tol Bentong tiga jam,”katanya di sini hari ini.
Sementara itu seorang penduduk Bentong, Azrul Riduan Abdul Rahman,39, berkata, dia yang mula bercuti hari ini memang sudah menjangka berhadapan kesesakan luar biasa.
Justeru katanya, dia telah memastikan kenderaan dinaiknya berada dalam keadaan baik dalam berhadapan kesesakan yang berpanjangan.
“Memang penat hadap jem ini, saya sampai lewat dan akan berhadapan dengan kesesakan lagi untuk ke Melaka hari ini.
“Saya rasa hari ini kesesakan lagi bertambah teruk termasuk di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE