BERBICARA tentang raya, pastinya setiap individu menyimpan 1,001 cerita, tidak kiralah hal menggembirakan mahu pun sebaliknya.
Begitu juga cerita yang dikongsi empat penyampai radio segmen Bekpes Hot iaitu Khairy Jamaluddin, Fara Fauzana, Johan dan AG.
Ikuti perkongsian empat penyampai radio popular itu mengenai pengalaman dan definisi Aidilfitri bagi mereka.

– IQBAL ROSLI
Air mata Syawal KJ
Berpeluang bertemu empat mata, bekas Menteri Kesihatan itu berkongsi detik yang membuatkan air matanya pasti tumpah setiap kali Syawal tiba.
Mesra disapa sebagai KJ, paling dirinduinya pasti momen beraya bersama arwah bapa, Allahyarham Jamaluddin Abu Bakar yang pergi menghadap Ilahi ketika dia berusia 16 tahun.
“Bapa saya meninggal dunia sewaktu saya usia 16 tahun.
“Kalau ditanya momen paling saya rindu pastinya ketika pergi masjid nak tunaikan solat sunat Aidilfitri dengannya, ibarat rutin wajib setiap kali pagi raya,” katanya kepada HibGlam.
Tanpa segan, KJ mengakui, air mata jantannya pasti tumpah setiap kali mengenangkan memori manis yang tidak mampu dimilikinya lagi.
“Setiap kali hari raya, air mata akan tumpah bila terkenang ayah saya.
“Namun, saya tetap gembira sebab berpeluang meneruskan rutin wajib itu dengan membawa anak-anak ke masjid pula. Jadi, saya teruskan ‘tradisi’ itu,” ujarnya.
Bercerita tentang sambutan Ramadan, Penyampai Radio Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 itu mengakui seronok kerana mempunyai lebih banyak masa terluang berbanding ketika bergelar ahli politik.
“Seronok sebab kalau dahulu banyak kerja terutama pada bulan Ramadan dan Syawal.
“Dahulu banyak tanggungjawab rasmi, kini lebih longgar dan santai terutama ketika buat rakaman raya dengan Fara, Johan serta AG.
“Mungkin kalau kembali ke dunia lama (politik), saya akan rindu pengalaman ini,” jelasnya yang akan menyambut raya pertama di ibu negara sebelum pulang ke Rembau, Negeri Sembilan
Dalam masa sama, lelaki yang aktif bersukan itu sempat mengimbau memori menghantar ucapan Aidilfittri menggunakan kad raya terutama ketika aktif dalam dunia politik.
“Ketika dalam dunia politik, saya memang akan hantar kad raya sebab rasa sentuhan itu berbeza dan lebih bermakna.
“Kalau ucap menerusi mesej (telefon bimbit), kadang-kadang tak sempat nak jawab dan boleh yang dibaca dua bulan kemudian.
“Jadi, saya pun rasa segan nak balas sebab sudah terlambat.
“Paling saya tak boleh lupa, ada yang kirim ucapan tetapi rupa-rupanya sudah dua tahun saya tak balas. Harap dia pun sudah lupa,” katanya tertawa kecil.

‘Satu jam, satu rumah’
JIka ramai generasi muda hari ini tidak menggemari aktiviti kunjung-mengunjung pada hari raya, percayalah momen tersebut yang akan dikejar kelak.
Itu yang berlaku pada Fara Fauzana sejak bergelar selebriti setiap kali tibanya Syawal.
“Sekarang saya sangat suka hari raya. Dahulu kalau ibu ajak ziarah rumah saudara-mara, memang saya pergi tetapi dalam rasa keterpaksaan.
“Namun, selepas usia pun sudah meningkat dan bergelar personaliti, semua itu berubah. Saya rasa raya sahaja waktu untuk saya bertemu mereka.
“Jadi, perasaan teruja nak beraya itu membuak-buak dan paling banyak sehari tak ingat tapi satu jam satu rumah,” katanya yang menyambut raya di Shah Alam, Selangor.
Ditanya pengalaman menyambut raya sebagai penyampai radio, Fara mengakui seronok dan tidak mempunyai masalah untuk bekerja pada hari raya pertama.
“Saya okey bersiaran pada waktu itu sebab suasana rasa sangat istimewa.
“Bila kerja pagi raya, pendengar di luar negara akan hubungi kita di sini.
“Mereka terpaksa berjaga untuk kejar momen raya dengan kita di sini, zon waktu berbeza.
“Dahulu tiada teknologi panggilan video seperti sekarang, mereka akan hantar macam-macam ucapan,” katanya.

Tragedi ‘on air’ raya
Di sebalik suara, tersemat 1001 kisah yang tidak dipaparkan ke khalayak.
Hal sama terpaksa dilalui AG atau nama lengkapnya Muhammad Azmir Selamat yang pernah kehilangan datuk dan adik pada tahun berbeza sewaktu sedang bersiaran.
Berat hati untuk terus bekerja, namun tetap perlu dilakukan bagi menghiburkan pendengar yang teruja mendengar putaran seleksi lagu raya.
“Dahulu tiada istilah rakaman awal sebelum raya. Kami akan sentiasa ‘on air’ jadi setakat raya pertama atau kedua di konti itu sudah biasa.
“Cuma saya ada momen paling pahit yang tersemat dalam ingatan. Saya tidak ingat raya ke berapa tetapi masa ‘on air’ saya dapat tahu arwah atuk meninggal dunia.
“Lapan tahun lepas pun saya melalui momen sama apabila saya terima berita arwah adik meninggal dunia ketika ‘on air’,” katanya.
Bagi penyampai radio berusia 44 tahun itu, momen tersebut kekal dalam ingatannya walaupun sudah lama berlalu sementelah kedua-dua insan itu paling akrab dengannya.

“Momen indah memang banyak tetapi dua insiden ini paling mengesankan sebab saya rapat dengan atuk dan adik.
“Sampai sekarang saya masih ingat kedua-dua memori tersebut.
“Apabila dapat khabar tentang mereka, saya tidak boleh gambarkan perasaan tersebut kerana saya masih perlu ‘on air’ macam biasa. Selepas habis baru balik dan terus pergi menziarah,” jelasnya.
Selain kehilangan arwah datuk dan adik, AG juga mengakui raya kini sudah tidak lengkap tanpa sosok seorang ayah yang dahulunya pernah menjadi tulang belakang keluarga.
“Bukan nak kata saya tidak suka raya tetapi semenjak tiada orang kita sayang, keseronokan jadi kurang. Namun, saya tetap rasa seronok bila anak-anak gembira.
“Saya jarang ke kubur pada hari raya sebab kalau pergi saya tahu realitinya papa sudah tiada. Saya akan ziarah pada hari lain,” tuturnya yang bakal beraya di Johor tahun ini.

Raya buang ego
Meskipun terlihat sentiasa berjenaka, Johan sebenarnya seorang bapa yang sangat tegas dengan anak-anak.
Dalam ketegasan, pemilik nama sebenar Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz itu mampu mengawal ego lebih-lebih lagi semasa mahu bermaafan ketika raya.
Selaku anak lelaki, dia menjadi orang pertama bersalam raya dengan kedua orang tuanya.
“Nilai sentimental setiap kali raya apabila saya orang pertama yang akan mula bermaafan dengan bapa dan akan diikuti dengan yang lain.
“Kalau adik-beradik lain datang awal rumah orang tua saya pun, mereka tetap tunggu saya mulakan.
“Hari raya buanglah ego, letak serendahnya di bawah tidak kisahlah siapa anda. Kadang-kadang ayah tidak minta maaf dengan anak tetapi bagaimana anak mahu ikut kalau ayah sendiri tak mulakan,” tuturnya.
Selain bersama keluarga besar, pelawak berusia 40 tahun itu juga sangat menitikberatkan tradisi salam raya dan bermaafan dengan anak-anaknya agar amalan itu diteruskan kelak.
“Momen bermaafan di pagi raya memang paling sentimental sebab anak-anak akan mengaku salah mereka dan imbau kembali apa yang berlaku sepanjang setahun.
“Perkara tersebut saya mahu jadikan budaya dan ikutan keluarga. Sesetengah keluarga tak ada pun bermaaf-maafan, gembira macam hari Krismas pula,” ujarnya sambil ketawa.
