JOHOR BAHRU – Tambak Johor mengalami kesesakan teruk sejak awal pagi apabila ribuan warga Singapura mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman atau bercuti sempena perayaan Aidilfitri.
Keadaan lalu lintas di Tambak Johor menjadi perlahan sejak petang Jumaat, dengan aliran kenderaan bertambah padat pada tengah hari ini.
Sementara itu, pihak berkuasa menggesa para pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan dengan baik dan mempertimbangkan waktu bukan puncak bagi mengelakkan kelewatan.
Di pihak Singapura, pihak Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah memberi amaran lebih awal bahawa tempoh cuti panjang ini dijangka menyebabkan peningkatan mendadak dalam jumlah pelawat yang keluar dari negara itu.
Selain warga Singapura yang menuju ke Malaysia, ribuan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura turut berpusu-pusu pulang untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.
Pihak berkuasa menasihati pengguna jalan raya untuk menggunakan aplikasi pemantauan trafik secara langsung bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan di Tambak Johor serta merancang perjalanan dengan lebih bijak. – KOSMO! ONLINE