PETALING JAYA – “Saya dan suami baik-baik sahaja.”
Itu respons pelakon, Risteena Munim mengenai desas-desus bertebaran kononnya rumah tangga dengan suami iaitu Isa Khan kini sedang bergolak.
Sebelum ini sebuah portal hiburan menerbitkan artikel mendakwa pasangan itu tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa hubungan mereka bermasalah.
“Pastikan bergolak baru tulis okey. Saya dan suami baik-baik sahaja.
“Asyik guna nama netizen. Kalau netizen tu ‘volunteer’ nak jadi ahli neraka, kenapa awak nak ikut sekali?” tulisnya dalam satu kenyataan yang dikongsinya dalam Instastory.
Tambah Risteena atau nama lengkapnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 36, itu lagi, dia kini mahu fokus melakukan ibadah umrah di tanah suci bersama keluarganya.
“Tempoh 10 hari terakhir Ramadan ini saya mahu fokus ibadah di sini.
“Jangan buat fitnah takut tak tenang awak di sana nanti. Doa orang teraniaya ini tiada hijab,” katanya lagi.
Untuk rekod, Risteena dan Isa melangsungkan perkahwinan pada 12 Mac 2021. – KOSMO! ONLINE