PETALING JAYA – Seorang lelaki menghabiskan masa selama sembilan jam di atas jalan raya bagi pulang ke kampung halamannya di Pantai Timur.
Bagaimanapun, perjalanan panjang itu baru separuh jalan menuju ke destinasi kerana itu hanyalah tempoh untuk dia sampai di Karak, Pahang dari Seremban, Negeri Sembilan.
“Salam Subuh, Seremban ke Karak sembilan jam. Kau orang dah sampai mana tu?,” tulis lelaki itu dalam satu hantaran di TikTok.
Tinjaun di media sosial mendapati rata-rata pengguna berkongsi keadaan lebuh raya utama yang sudah mula mengalami kesesakan kerana orang ramai pulang beraya.
Di laman X, seorang pengguna dikenali sebagai Feeqa berkata, dia menghabiskan masa selama 10 jam untuk pulang beraya di Kelantan pada tahun ini.
“Putrajaya ke Kelantan, 10 jam mungkin tahun depan boleh dipertimbangkan lagi,” katanya.
Selain itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai
Lolwak berkata, dia yang menaiki bas untuk pulang ke Pantai Timur perlu mengharungi kesesakan jalan raya selama 13 jam.
“Semalam naik bas, jangka lima jam saja. Dari pukul 8 pagi bertolak dari Perak ke Kelantan, sampai pukul 8 malam. Sakit pinggang duduk das, 14 nak sampai. Jalan jem teruk,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Faiz berkata, dia mengambil masa selama tujuh jam untuk balik ke Kedah dari Kuala Lumpur.
“Tujuh jam perjalanan Kuala Lumpur ke Kedah. Bagi saya, baik lagi tujuh jam balik Kelantan lagi mencabar hadap jem,” katanya. – KOSMO! ONLINE