SHAH ALAM – Pengalaman pahit tidak dapat dilupakan, penyanyi Nadeera mendedahkan pernah melalui detik cemas apabila mata kanannya hampir dicucuh dengan bunga api sehingga boleh mengakibatkan hilang deria penglihatan.
Kongsi Nadeera atau nama penuhnya Farah Nadeera Zaini, 31, kejadian tersebut berlaku ketika zaman kanak-kanak namun bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Saya pernah bermain bunga api pada malam raya, sepupu saya mencucuh bunga api dan hampir terkena mata kanan, nasib baik ayah sempat selamatkan.
“Hampir buta tapi syukur tiada kecederaan serius, ketika itu saya baru berumur empat tahun,” katanya kepada Kosmo! Online pada Meet & Greet Drama Sangat TV3 di sini, baru-baru ini.
Dia bagaimanapun mengakui pengalaman tersebut tidak membuatkan dirinya serik apatah lagi takut untuk bermain bunga api.
“Saya tak serik dan tak trauma pun, mungkin sebab masih kanak-kanak ketika itu.
“Tapi, kalau mercun, memang takut sebab pernah bakar mercun dan terkena sikit,” ujarnya.
Pelantun lagu raya Meriah Lain Macam itu juga sempat berpesan kepada individu di luar sana agar berhati-hati sepanjang musim perayaan ini termasuk ketika bermain bunga api dan sebagainya.
“Saya harap adik-adik di luar sana agar sentiasa berhati-hati ketika bermain. Ibu bapa pun harus terus memantau anak mereka.
“Memang seronok nak sambut raya tetapi kena beringat dan jaga keselamatan,” katanya yang menyambut hari raya di Kota Bharu, Kelantan tahun ini. – KOSMO! ONLINE