GUA MUSANG – Anak perantau terpaksa mengharungi kesesakan selama lebih 10 jam berbanding empat jam perjalanan dari ibu negara untuk masuk ke Kelantan melalui Gua Musang hari ini.
Kesesakan itu menyebabkan kenderaan bergerak perlahan bermula dari Tol Gombak ke Tol Bentong hingga ke Lebuh Raya Karak.
Seorang jururawat, Nur Anis Dzahri, 33, berkata, dia bersama keluarga bertolak dari Shah Alam, Selangor sebelum pukul 12 tengah malam tadi dan sampai di Gua Musang hampir pukul 10 pagi.
“Perjalanan kali ini mencabar kerana terpaksa mengharungi tempoh masa 10 jam dari Shah Alam ke Gua Musang.
“Tulang pinggang sudah rasa nak patah dan ini rupanya perasaan menantu kepada orang Kelantan apabila terpaksa hadap jalan sesak setiap kali musim perayaan,” katanya berseloroh.
Seorang lagi perantau, Mohd. Adnan Mat Lazim, 44, pula berkata, dia yang bertolak waktu tengah malam dari Klang, Selangor juga terpaksa menempuh kesesakan lebih 10 jam untuk balik ke kampung isterinya di Felda Aring 1 di sini.
Katanya, kesesakan di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak bermula dari Batu Caves dan terpaksa menggunakan jalan Bentong Lama sebagai alternatif.
“Laluan sedikit lancar di laluan Bulatan Mempaga, namun selepas susur keluar ke Raub kami terpaksa menempuh kesesakan sehingga ke sempadan Kelantan,” katanya ketika ditemui di Kampung Mentara di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, aliran trafik masih terkawal meskipun terdapat pertambahan kenderaan hari ini.
“Anggota polis sentiasa membuat pemantauan aliran trafik untuk kelancaran perjalanan pengguna jalan raya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE