PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) akan ditabalkan sebagai juara Ligue 1 buat kali keempat berturut-turut pada perlawanan ke-27 musim ini menentang Saint-Etienne di Stade Geoffroy-Guichard awal pagi esok.
Bagi mengesahkan kejuaraan lebih awal memandangkan saingan masih berbaki lapan perlawanan, PSG perlu menang ke atas Saint-Etienne sambil mengharapkan pencabar terdekat, Marseille tewas.
Marseille dijadualkan menentang Stade Reims di Stade Auguste-Delaune dua jam sebelum aksi PSG dengan Saint-Etienne, sekali gus memberikan kelebihan besar buat skuad Les Parisiens itu.
Skuad bimbingan Luis Enrique itu sebenarnya hanya menanti masa untuk ditabalkan sebagai juara berdasarkan prestasi cemerlang peringkat domestik yang menyaksikan mereka belum tewas dalam semua 26 perlawanan liga.
Sebagai rekod, PSG menang 21 perlawanan dan lima seri untuk mengumpul 68 mata, berkelebihan besar 19 mata ke atas Marseille yang berada di tangga kedua.
PSG sudah tentu akan mengharungi perlawanan itu dengan penuh bersemangat, apatah lagi selepas kejayaan mereka mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Aston Villa pada 10 April nanti.
Kejayaan itu berpunca daripada kemenangan 4-1 ke atas Liverpool menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat di pusingan 16 terbaik.
PSG juga akan menentang USL Dunkerque untuk separuh akhir Piala Perancis awal pagi Rabu ini dan turut bersaing Piala Kelab Dunia 2025 pada Jun depan selepas diundi dalam Kumpulan B bersama Atletico Madrid, Botafogo serta Seattle Sounders. – AGENSI