LONDON – Pengendali Nottingham Forest, Nuno Espírito Santo mengakui pasukannya menerima tamparan hebat selepas kehilangan penyerang utama, Chris Wood menjelang aksi suku akhir Piala FA menentang Brighton di Stadium Amex awal pagi esok.
Wood yang menjadi penjaring terbanyak Forest dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini mengalami kecederaan ketika membantu New Zealand menewaskan New Caledonia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 awal minggu ini.
Kata Santo, Wood akan disisihkan daripada kesebelasan utama dan ini adalah peluang buat pemain di posisi serangan lain untuk meraih minit permainan.
“Dia telah melakukan ujian imbasan tetapi kami masih belum dapat keputusan lagi. Buat masa ini, dia tidak akan diturunkan pada aksi Piala FA kerana kami tidak mahu mengambil risiko.
“Inilah risiko setiap kali aksi antarabangsa apabila pemain mewakili negara masing-masing dan harap tiada lagi pemain yang pulang ke kelab dalam keadaan cedera,” katanya.
Sementara itu, Wood yang berusia 34 tahun mengakui masih merasai kesakitan sehingga kini tetapi berharap kecederaan yang dialaminya itu tidak terlalu serius sehingga menjejaskan peluangnya untuk bersama Forest pada baki saingan EPL musim ini.
Sebagai rekod, Forest yang mempamerkan prestasi luar biasa di peringkat EPL musim ini turut memburu tiket ke separuh akhir Piala FA buat kali pertama sejak edisi 1991. – AGENSI