KUANTAN – Seorang pesara guru warga emas mengalami kerugian sebanyak RM200,000 selepas terperdaya dengan penipuan dalam talian yang melakukan penyamaran sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian di Maran itu bermula pada 14 Februari lalu selepas mangsa yang merupakan wanita berumur 71 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa diri sebagai pegawai kesihatan.
“Suspek menuduh mangsa mempunyai tunggakan bil rawatan sebanyak RM68,000 dan apabila mangsa menafikan suspek memaklumkan akaun bank milik mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa berhubung dengan beberapa individu yang kononnya pegawai polis untuk menyelesaikan masalah tersebut,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa telah membuat tujuh transaksi pemindahan wang ke satu akaun bank yang diberikan suspek sehingga mangsa mengalami kerugian sebanyak RM200,000.
Katanya, mangsa menyedari ditipu setelah melakukan semua transaksi dan sumber kerugian adalah daripada wang simpanan mangsa.
Dalam pada itu, katanya, pihak polis kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar tidak melayan panggilan mencurigakan terutamanya daripada individu yang tidak dikenali khususnya melibatkan arahan pemindahan wang atau pengesahan maklumat peribadi.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi wang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE