PETALING JAYA – Seorang peniaga belon yang tular di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) sudah diberi teguran kali ketiga untuk beredar sebelum bertindak agresif dan menolak anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
DBKL dalam kenyataan berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu berlaku, anggota penguat kuasa DBKL yang melakukan rondaan berkala melihat kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR.
Katanya,, anggota penguat kuasa DBKL telah memberi teguran dan kebanyakan penjaja tanpa lesen memberikan kerjasama dengan beredar dari kawasan tersebut.
“Seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali. Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon tersebut bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.
“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghalang kemungkinan insiden yang lebih serius, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak pantas untuk menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa.
“Situasi menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal dan ditenangkan tidak lama kemudian. Tiada kecederaan dilaporkan. Satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa yang terlibat dalam kejadian ini,” kata DBKL.
DBKL berkata, Jalan TAR merupakan lokasi tumpuan ramai untuk membuat persiapan akhir menyambut Syawal dan DBKL bertanggungjawab memastikan keselamatan, kelancaran pergerakan orang awam serta pematuhan terhadap peraturan.
Justeru, kata DBKL, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta mengganggu ketenteraman awam.
“DBKL bagaimanapun akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa yang terlibat dalam insiden tersebut.
“Sekiranya perlu, DBKL akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, DBKL menegaskan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan tanpa mengambil kira latar belakang kaum, sebaliknya berdasarkan peraturan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, DBKL memohon kerjasama semua pihak menghentikan hebahan sentimen serta spekulasi negatif dan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan.
“DBKL akan berusaha untuk terus memastikan keharmonian dan keselamatan awam sentiasa terpelihara,” kata DBKL. – KOSMO! ONLINE