KOTA BHARU – Seorang penggali kubur pengsan sebelum meninggal dunia ketika mengebumikan jenazah bekas imam di dalam liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Nibong, Padang Kala, Peringat di sini semalam.
Mangsa, Halim Mat Razi, 55, disahkan meninggal dunia semasa tiba di Klinik Kesihatan Peringat di sini untuk pemeriksaan lanjut kira-kira pukul 2.45 petang.
Setiausaha Masjid Mukim Padang Kala, Kamaruzaman Samad berkata, arwah tiba-tiba pengsan di dalam liang lahad ketika menyambut jenazah bekas imam berusia 76 tahun yang meninggal akibat sakit tua pada pukul 4 pagi.
“Apabila berada di dalam liang lahad, arwah tiba-tiba pengsan sebelum penduduk kampung yang berada di upacara pengebumian itu terus membawanya keluar dari kubur.
“Arwah Halim kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Peringat dengan menaiki van jenazah yang membawa jenazah bekas imam itu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan semasa tiba di klinik,”katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Kamaruzaman memberitahu, arwah Halim yang berpengalaman selama 10 tahun sebagai penggali kubur tinggal bersama empat anak termasuk dua daripadanya orang kurang upaya (OKU) masalah pertuturan selepas kematian isteri dua tahun lalu.
Sementara itu, anak lelaki arwah Mohd. Muinzudin, 14, yang mengimamkan solat jenazah mangsa berkata, dia terkejut dengan pemergian mengejut bapanya itu hanya beberapa hari sebelum Aidilfitri.
“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah ketika semua sedang gembira untuk menyambut Syawal. Arwah sempat membelikan baju raya kepada saya dan dua lagi adik-beradik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE