PETALING JAYA – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta supaya lebih prihatin, peka dan berhemah dalam memudahkan peniaga-peniaga kecil mencari rezeki di musim perayaan termasuk dengan memberi lesen sementara kepada mereka.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berasa sedih melihat video insiden membabitkan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang penjual belon.
“Say sedih melihat insiden ini lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia. Tidak wajar kekasaran sebegitu rupa digunakan ke atas seorang penjaja tepi jalan yang kesalahannya hanyalah menjual belon.
“Setiap kali menjelang musim perayaan, ramai peniaga kecil cuba mencari rezeki. Tambahan pula dalam keadaan tekanan kos sara hidup dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat, inilah masanya untuk mereka menambah sedikit pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, lesen-lesen sementara boleh dikeluarkan untuk membolehkan peniaga terlibat berniaga di tempat-tempat tertentu untuk suatu tempoh yang terhad.
Kata beliau, semasa pentadbiran kerajaan PN, Kementerian Wilayah Persekutuan telah melaksanakan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dengan mengeluarkan lesen-lesen sementara kepada para penjaja.
Menurut beliau, ia bagi suatu tempoh tertentu untuk memudahkan penjaja kecil menjalankan perniagaan di Wilayah Persekutuan dan meringankan beban rakyat yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.
“Konsep yang sama boleh digunakan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat yang sedang dihimpit kenaikan kos sara hidup masa ini. Dengan ada kebenaran berniaga secara sementara ini, bolehlah rakyat menambah pendapatan untuk menyara hidup.
“Yang penting ialah sikap prihatin kerajaan dalam membantu rakyat. Bila kerajaan prihatin, langkah-langkah tentu boleh diambil untuk memenuhi keperluan rakyat tanpa perlu mereka melanggar undang-undang untuk mencari rezeki sesuap nasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE