fbpx

‘Mister kita nak ke mana?’ Murid tak sangka bapa meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHLI keluarga Allahyarham Syed Shaufira Syed Sahari (kanan) maut dalam kemalangan di jalan menuju Bandar Sunsuria, Dengkil.

PETALING JAYA – Seorang guru berkongsi rasa sebak membawa dua murid ke Hospital Putrajaya untuk melihat jenazah bapa dalam keadaan dua beradik itu tidak mengetahui kejadian yang menimpa ketua keluarga mereka.

Cikgu Sharom yang bertugas di sebuah sekolah di Dengkil berkata, dua kanak-kanak itu teruja ketika dibawa menaiki kereta dan bertanya lokasi hendak dituju.

Mereka merupakan murid tahun satu dan tahun lima.

Katanya, bapa mereka, Syed Shaufira Syed Sahari, 46, meninggal dunia dalam kemalangan menuju Bandar Sunsuria, Dengkil apabila motosikal yang ditunggang mangsa berlanggar dengan sebuah kereta pada pagi 19 Mac lalu.

“Saya menahan sebak dan air mata daripada jatuh apabila si adik beria bercerita ibu sudah membeli baju raya ayah.

“Allahuakbar saya tidak sampai hati hendak beritahu apa yang telah terjadi ke atas arwah bapanya.

“Si abang pula pelik apabila saya tidak terus pandu ke rumah mereka di Dengkil, sebaliknya ke Hospital Putrajaya. Dia tanya kita nak ke mana sebenarnya ni,” katanya.

Shahrom yang mesra dengan panggilan Mister dalam kalangan murid berkata, beliau meminta maaf kerana tidak terus terang, sebaliknya memberitahu mempunyai sedikit urusan di hospital tersebut.

Tambahnya, sebaik tiba di hospital, si abang terdiam apabila melihat air matanya mula bergenang dan mengetahui hal sebenar apabila dimaklumkan oleh ibu mereka ketika masuk ke dalam bilik jenazah.

“Ya Allah, aku mohon padaMu, Kau peliharalah anak-anak syurga ini dan temukanlah mereka dgn arwah bapanya dlm syurgaMu.

“Kau bahagiakanlah mereka di 1 Syawal nanti. al-Fatihah untuk Allahyarham Syed Shaufira,” katanya.

Ujar Shahrom, arwah seorang yang amat disenangi keluarga, jiran dan ahli keluarga selain memiliki budi pekerti mulia. Arwah Syed Shaufira meninggalkan isteri serta enam anak.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan ke akaun Maybank isteri arwah, Wan Roziana Wan Yacob menerusi 164173651238 atau menghubungi kakak arwah, Sharifah Sharmila di talian 019-383 1064. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI