fbpx

MCMC perhebat usaha tingkat keselamatan dalam talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MCMC melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai keselamatan dalam talian.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperhebat usaha bagi meningkatkan keselamatan dalam talian, seterusnya mewujudkan persekitaran selamat untuk semua rakyat Malaysia.

Dalam konteks ini, usaha memastikan landskap keselamatan dalam talian kekal selamat bukan sahaja memberi fokus melindungi hak pengguna, bahkan juga penekanan diberikan kepada golongan rentan termasuk kanak-kanak yang berdepan risiko eksploitasi seksual.

Selain itu, persekitaran selamat dalam talian turut meliputi aspek pencegahan sindiket ‘scammer’ selain memastikan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R) serta penyebaran berita palsu dapat dikawal secara menyeluruh.

Susulan itu, kerajaan menerusi MCMC terus bertindak aktif dengan melaksanakan pelbagai intervensi kawal selia bagi mengekang proliferasi kemudaratan dalam talian, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat pada masa hadapan.

Menurut Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd. Yasin, kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial merupakan antara kawal selia dilaksanakan bagi mewujudkan landskap yang selamat dalam talian.

Katanya, penyedia perkhidmatan yang mempunyai pengguna lebih lapan juta perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) selain mematuhi keperluan pelesenan sebelum tarikh kuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Setakat ini, tiga penyedia perkhidmatan pesanan Internet iaitu TikTok, WeChat, dan Telegram telah diberikan (ASP(C)).

“Objektif utama di sebalik pelesenan itu ialah penyedia perkhidmatan bertanggungjawab menguruskan operasi mereka dengan baik di Malaysia termasuk menangani secara efektif kandungan memudaratkan.

“Ini termasuk usaha memperkukuh sistem dan proses mereka dalam mengurangkan jenayah siber di platform masing-masing,” katanya pada sesi temu bual bersama Kosmo! di Cyberjaya baru-baru ini.

Mengulas mengenai impak tindakan pelesenan itu, Zurkarnain berkata, pihaknya optimis untuk membendung jenayah siber seperti penipuan dalam talian, buli siber serta penyebaran maklumat palsu.

“Ini kerana, langkah itu bakal memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan pengguna di platform media sosial dengan mengurangkan pendedahan kepada kandungan memudaratkan.

“Penyedia perkhidmatan turut melindungi kanak-kanak dan komuniti rentan daripada kandungan memudaratkan selain memastikan hanya kanak-kanak berusia 13 tahun ke atas dibenarkan mengakses platform selaras dengan Garis Panduan Komuniti mereka sendiri,” jelasnya.

Dalam aspek lain, impak kawal selia itu dilihat menjamin keselamatan pengguna. Menerusi tindakan kawal selia, mereka berasa lebih selamat untuk berinteraksi dalam ekosistem yang mengutamakan ketelusan dan keselamatan.

“Paling penting, pelesenan ini tidak menyekat kebebasan bersuara pengguna, sebaliknya hanya mengawal ruang siber dengan lebih baik dan membanteras jenayah dalam talian.”

Dalam pada itu, antara langkah lain diambil oleh kerajaan dan MCMC bagi meningkatkan keselamatan dalam talian termasuklah penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 (ONSA 2024).

Pelancaran Chatbot Artificial Intelligence Fact-Check Assistant (AIFA) pada 28 Januari juga merupakan inisiatif terbaharu dilaksanakan kerajaan bagi memerangi maklumat palsu dengan berfungsi untuk menyemak kesahihan berita dalam talian.

AIFA berfungsi untuk memahami dan bertindak balas terhadap input pengguna secara dinamik dan memberi jawapan menerusi sumber sahih seperti Sebenarnya.my.

Bagi tempoh antara 28 Januari hingga 6 Februari lalu, jumlah mesej yang dikemukakan kepada chatbot ialah sebanyak 53,302 dengan purata 5,330 soalan sehari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI