fbpx

Malaysia hantar pasukan SMART ke Yangon bantu SAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid.

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia membuat keputusan menghantar Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team (SMART) ke Myanmar bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan akibat insiden gempa bumi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan tersebut dijadualkan tiba di Yangon hari ini sekitar pukul 1 tengah hari nanti.

Katanya, misi bantuan kemanusiaan ke Thailand juga sedang diselaras dan akan digerakkan dalam masa terdekat.

“Sebagai negara jiran yang prihatin dan rakan solidariti dalam komuniti Asean, Malaysia menyatakan komitmen penuh dalam membantu negara terjejas.

“Kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kekal komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan bencana, khususnya melalui penyediaan kepakaran, aset teknikal dan sokongan logistik.

“Ia bagi meringankan penderitaan mangsa serta mempercepatkan proses pemulihan pasca bencana,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Myanmar dan Thailand dalam menghadapi saat sukar dan akan terus memainkan peranan aktif dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan di rantau ini.

“Malaysia merakamkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam terhadap insiden gempa bumi yang berpusat di Myanmar serta memberi impak besar kepada Thailand.

“Kejadian itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan serius serta kerosakan besar kepada bangunan dan infrastruktur awam di kedua-dua negara,” katanya.

Terdahulu, dua gempa bumi dengan magnitud 7.7 berlaku sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) semalam dengan pusat gempa terletak di Wilayah Sagaing, barat laut Myanmar.

Gempa kedua dengan magnitud 6.4 pula berlaku tidak lama selepas itu di mana gegaran susulan daripada kedua-dua gempa turut
dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI