fbpx

MAIPs sumbang RM6.67 juta kepada sekolah agama, pondok Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUANKU Syed Sirajuddin (tiga dari kiri) berkenan mencemar duli menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada sekolah-sekolah agama Perlis di sini baru-baru ini.

KANGAR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyerahkan sumbangan tahunan berjumlah RM6.67 juta kepada semua sekolah Islam berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd. Noor berkata, sumbangan itu membuktikan komitmen pihaknya dalam memperkasakan institusi pendidikan Islam di negeri ini.

“Dana ini bukan hanya untuk menyokong pengurusan dan kebajikan warga sekolah, malah juga bertujuan memperkasakan lagi usaha memperluas aktiviti dakwah, pengajaran al-Quran, dan pembangunan sahsiah murid, serta guru secara menyeluruh.

“MAIPs menekankan kepentingan sistem sokongan pendidikan Islam yang tersusun dan berdaya saing, dan kami percaya sumbangan ini akan menjadi pemangkin kepada kelestarian institusi-institusi ini sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan arus perdana,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sebanyak 32 buah institusi terdiri daripada maahad tahfiz, sekolah menengah dan rendah agama serta pondok menerima manfaat daripada dana berkenaan.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sempena keberangkatan baginda ke Masjid ar-Rahim, Titi Tok Bandar dalam lawatan Ramadan menyantuni komuniti setempat baru-baru ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sumbangan disampaikan kepada Pengarah JAIPs, Maizura Shamsuddin selaku wakil kepada sekolah-sekolah Islam di seluruh negeri itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI