PETALING JAYA – Tidak sanggup bersesak balik raya, seorang pengguna di Facebook berkongsi pengalaman perjalanannya pulang beraya dari Sepang, Selangor ke kampung halamannya di Bachok, Kelantan menggunakan laluan pintu sempadan ke Betong, Thailand.
Menerusi hantaran pemilik akaun @AzimiAzura, tahun ini dia merancang perjalanan pulang ke kampung halamannya di Bachok melalui Lebuh Raya Utara-Selatan hingga ke pintu sempadan Malaysia-Thailand, Pengkalan Hulu di Perak.
Menurutnya, perjalanan itu mengambil masa selama tujuh jam ke Betong, Thailand dan berehat semalaman sebelum bertolak ke Kelantan melalui pintu sempadan Rantau Panjang, Kelantan-Thailand keesokan paginya.
“Kali ini buat kelainan di luar kotak, daripada bersesak berbelas jam melalui Gua Musang atau Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), ambil keputusan balik raya melalui Siam dari Betong, Yala terus ke Narathiwat (Sungai Kolok) sebelum masuk sempadan Rantau Panjang di Kelantan.
“Kami sekeluarga tidur semalaman di Betong, keesokan paginya baru kami sambung perjalanan ke kampung (Bachok). Kalau ikut Waze, dalam 4 jam baru sampai sempadan Rantau Panjang, Kelantan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, laluan yang biasa dilalui oleh perantau ke Kelantan Ketika musim perayaan sering memakan masa lebih dari 10 jam.
Rata-rata pengguna di ruangan komen kagum dengan perkongsian rancangan perjalanan yang bukan kebiasaan dilalui oleh anak perantau ketika pulang ke kampung halaman di Kelantan.
“Sungguh di luar kotak jarang anak perantau buat lagu ni (macam ni) hebat demo (dia),” komen Megat.
“Betul-betul rare (luar biasa) ni,” kata Mat Jais Ahmad. – KOSMO! ONLINE