PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag masih tetap mengharapkan semangat daripada para pemain untuk berdepan cabaran getir melayani kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
Menurut Victor, tiada apa yang mampu dipintanya daripada para pemain, selain mengharapkan mereka terus kekal bersemangat untuk menentang jagoan dari selatan tanah air itu.
“Aksi menentang JDT cukup sukar, lebih-lebih lagi dengan cabaran dan dugaan dilalui pasukan. Namun, saya masih mengharapkan dapat melakukan segala yang termampu untuk pasukan.
“Saya tahu setiap pemain masih memiliki semangat menunjukkan kemampuan di padang. Dengan semangat itu, saya mengharapkan mereka dapat memberikan aksi terbaik dan saya tidak boleh meminta lebih daripada itu,” katanya.
Ketika ini, KDA FC berada di tangga ke-11 Liga Super, manakala JDT sah dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut setelah menewaskan Perak FC pada 24 Februari lalu.
Mengulas lanjut, Victor berkata, faktor disiplin di padang merupakan aspek paling penting bagi pasukannya mengekang asakan JDT yang memiliki pemain berkualiti di setiap bahagian. – KOSMO! ONLINE