MEKAH — Pusat Menara Jam di Mekah, Arab Saudi memiliki kedai gunting rambut terbesar di dunia, direka dan dikendalikan mengikut piawaian antarabangsa sebagai kemudahan untuk jemaah haji dan umrah, lapor portal berita Saudi Gazette semalam.
Projek itu sebahagian daripada rancangan lebih luas untuk membangunkan zon pusat gunting rambut, bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan di sekitar Masjidil Haram.
Kedai gunting rambut itu mempunyai 170 kerusi dan boleh memberi perkhidmatan kepada lebih 15,000 jemaah setiap hari pada fasa awalnya, dengan setiap perkhidmatan mengambil masa purata hanya tiga minit.
Kapasiti dan kecekapan tinggi itu mencerminkan piawaian dan kelajuan luar biasa operasi sebuah kedai gunting.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan perkhidmatan untuk pelawat ke kota suci itu.
Kewujudan kedai gunting itu sejajar dengan visi komprehensif untuk menyesuaikan kota suci Mekah dengan pembangunan utama berdekatan seperti projek Masar, Jabal Omar dan Thakher Mekah. – AGENSI