LEGENDA bola sepak negara, Reduan Abdullah berharap kehadiran pemain warisan baharu perlu memiliki kualiti yang lebih baik berbanding ‘anak tempatan’ jika diberikan peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya nanti.
Sebagai rekod, skuad kebangsaan telah menerima kehadiran tiga pemain warisan baharu pada aksi antarabangsa lepas seperti Hector Hevel yang diserapkan dalam kesebelasan utama selain penjaga gol, Christian Abad dan bek kiri, Gabriel Palmero.
Namun, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan tujuh lagi pemain baharu bakal dibawa menyertai revolusi skuad Harimau Malaya pada kem akan datang dengan salah seorang nama yang dilaporkan adalah Jon Irazabal.
Kata Reduan, mana-mana pemain berdarah warisan yang diberikan kerakyatan penuh nanti harus ada kelebihan yang lebih bagus supaya dapat menambah sengat skuad kebangsaan.
“Bagi pandangan saya, kita kena tahu apa kelebihan yang pemain warisan boleh sumbangkan. Kalau suam-suam kuku, itu bermakna kita masih perlukan pemain lokal.
“Mereka (pemain warisan) kena lebih baik kerana kalau tidak, baik kita ketengahkan sahaja pemain lokal (di peringkat antarabangsa) supaya pada masa akan datang kita tidak lagi perlukan pemain warisan atau naturalisasi,” kata bekas pemain negara era 70-an itu.
Sementara itu, Reduan yang juga bekas pengendali Pulau Pinang turut memuji impak Hevel yang dianggap positif tetapi ujian sebenar menantinya pada perlawanan menentang pasukan lebih baik pada masa akan datang.
“Hevel perlu bersama pasukan untuk tempoh yang lebih lama kerana ketika ini dia belum serasi dengan pemain-pemain lain. Saya pasti dia akan tampil lebih baik pada perlawanan seterusnya nanti,” katanya.
Harimau Malaya bakal berkumpul semula pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam dan Laos pada Jun depan.