BERDEPAN kesukaran bergerak akibat masalah lutut dan penyakit tiga serangkai, ramai simpati keadaan terkini dramatis veteran, Mak Wan Latah yang terbongkok-bongkok saat cuba berjalan mengundang simpati ramai.
Biarpun masih diajukan tawaran ke set penggambaran, pemilik nama sebenar Halimatussa’diah Mohd. Daud, 63, itu perlu mendapatkan suntikan di klinik bagi mengurangkan kesakitan.

Syurga
Begitupun ketika kisah sedihnya dikongsikan penceramah bebas Ebit Lew tular, ada suara mempersoalkan keberadaan empat anaknya yang dituduh mengabaikan ibu sendiri.
Sebagai orang tua, luluh hati Mak Wan apabila darah daging dilemparkan pelbagai kecaman sedangkan dia sendiri memilih tinggal sendirian.
“Orang luar tidak tahu perjalanan hidup Mak Wan bersama anak-anak tetapi mudah untuk jatuh hukum.
“Mereka didakwa ketepikan ibu, tiada belas bahkan dikutuk hanya kerana saya yang pilih tinggal di flat ini sendirian.
“Mereka kerap ajak, cuma saya sendiri yang selesa di sini sebab sudah bertahun-tahun tinggal di rumah ini. Biarpun unit ini kecil, inilah syurga saya.
“Saya kesal apabila anak-anak dihina sedangkan mereka ada jenguk walaupun duduk jauh, manakala anak lelaki yang juga tinggal di Kuala Lumpur selalu tolong beli barang keperluan, ubat dan sebagainya,” katanya kepada HibGlam.

Cerita buruk
Mengakui ketika kecil anak-anak bawah jagaan bekas suami, wanita yang mudah tersentuh hati itu tetap berhubung dengan mereka biarpun hanya rapat selepas masing-masing dewasa.
Air dicincang takkan putus, pengorbanan rasa tidak dapat mengasuh dan membelai darah daging sendiri berbalas apabila semua belahan jiwanya memahami situasi tidak dapat tinggal sebumbung dengan ibu kandung sewaktu membesar.
Mengenang kecaman yang dilontarkan kepada anak-anak, air mata Mak Wan menitis laju.
Apatah lagi dalam ruangan komen di laman sosial turut terkeluar ayat-ayat berbaur ‘sumpahan’ terhadap anak-anaknya daripada individu tidak dikenali yang tidak mengetahui hal sebenar.
“Sampai sumpah seranah anak saya, itu sudah melampau. Janganlah. Memang kadangkala saya susah bergerak terutama selepas duduk lama akibat pernah terjatuh ketika umrah, tetapi bukan tahap tidak dipedulikan.
“Saya faham situasi anak-anak yang mempunyai tanggungjawab masing-masing. Anak perempuan sulung saya di Melaka baru kematian suami yang meninggal dunia secara mengejut, anak pula masih kecil. Anak lelaki yang tinggal di Kuala Lumpur pula sudah kematian isteri, anak tunggal mereka belum pun berusia setahun.
“Dari situ saya fikir baik saya terus tinggal di rumah ini,” ujarnya yang hanya mampu duduk di atas tilam sepanjang wawancara.
Mengenai Aidilfitri, pelakon drama Suri Hari Mr. Pilot itu akan menyambut 1 Syawal bersama anak sulungnya di Bukit Rambai, Melaka.
“Jika mereka tak endah tentu saya tidak dibawa ke Melaka. Anak-anak lain pun bakal menyusul ke rumah kakak mereka untuk berkumpul seisi keluarga.
“Pada usia emas ini tiada apa lagi yang saya harapkan kecuali kesejahteraan zuriat saya.
“Hinalah, fitnahlah saya tetapi jangan ‘sentuh’ anak-anak saya,” tambah ibu kepada empat orang berusia antara 25 hingga 40 tahun itu.

Dipulaukan
Ditebak mengenai luahan berkaitan penghinaan orang industri, Mak Wan hanya menjeruk rasa apabila ada dalam kalangan rakan seperjuangan yang seolah-olah kurang selesa dengan kehadirannya sehingga tergamak meluahkan sindiran.
“Saya pun tak tahu kenapa kawan yang pernah sebantal bersikap demikian. Mungkin sebab saya miskin, tidak mewah sepertinya. Itu yang membuatkan dia jijik dan lebih teruk, saya juga dituduh mencuri.
“Mana buktinya. Saya pernah lalui tohmahan lebih azab daripada orang terdekat, dipukul tetapi tiada sesiapa percaya, jadi setakat dipulaukan saya sudah lali.
“Saya percaya kebenaran akan terbukti, cuma tunggu cepat atau lambat. Bagi yang pernah menganiaya saya, mungkin dunia mereka boleh lepas. Tunggu akhirat nanti,” luahnya dengan nada sebak.
Tidak menagih simpati, perkongsian isi hati sekadar menzahirkan perasaan terbuku hanya kerana bergelar ibu tunggal yang melalui tiga episod kecundang dalam perkahwinan.
Pernikahan terakhir pada 2022 cuma bertahan tiga bulan, namun Mak Wan tidak menyalahkan takdir sebaliknya menganggap itu pengajaran paling berharga.
“Saya dah tutup buku lama dengan semua bekas suami.
“Sekarang masa saya lebih kepada usaha untuk kembali kepada-Nya. Dahulu saya leka. Saya berdoa moga Allah terima amal ibadah saya sebelum menutup mata,” ulasnya menoktahkan bicara.

di Bukit Rambai, Melaka. – ISKANDAR ISHAK