PETALING JAYA – Jutaan perantau yang pulang ke kampung berkongsi pengalaman menempuh perjalanan panjang lebih 10 jam sejak semalam apabila lebuh raya utama di seluruh negara sesak.
Seorang perantau, Mohd. Solihi Ismail, 42, berkata, dia yang memulakan perjalanan dari Shah Alam kira-kira pukul 7 pagi tadi mengambil masa 10 jam untuk pulang beraya di Chendering, Kuala Terengganu.
“Jalan memang sesak, dari Gombak menuju ke Genting Sempah sahaja perjalanan mengambil masa sehingga empat jam.
“Bila buka (aplikasi) Google Maps cadang suruh berpatah balik. Tapi saya teruskan sahaja perjalanan.
“Tahun lepas saya dan keluarga pulang ke Terengganu dua ke tiga hari sebelum Aidilfitri, tetapi tidak sesak seperti tahun ini.
”Sepanjang perjalanan tiada kemalangan berlaku, memang kesesakan terjadi sebab kenderaan banyak,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Salina Musa, 32, berkata, dia menempuh perjalanan selama tujuh jam menuju ke kampung halamannya di Sabak Bernam.
Dia yang bertolak dari Kuantan, Pahang pada pukul 10 malam semalam berkata, keadaan jalan raya agak sesak walaupun pada waktu tengah malam.
“Saya dan keluarga ambil keputusan untuk bergerak waktu malam kerana mahu elak kesesakan dan mengantuk jika memandu waktu siang dalam keadaan berpuasa.
“Balik raya tahun ini agak sesak walaupun pada sebelah malam, kami berhenti berehat sekali sahaja di Genting Sempah, namun tetap tiba lewat ke destinasi,” katanya.
Seorang lagi pekerja swasta, Muhamad Farid Fazil, 31, berkata, perjalanan balik ke Kangar, Perlis tahun ini mengambil masa selama 10 jam.
Katanya, tempoh masa itu lebih lama berbanding kebiasaan iaitu enam ke tujuh jam sahaja.
“Saya memulakan perjalan dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 malam dan tiba di Kangar pada pukul 8 pagi (keesokannya).
“Kelewatan dalam tiga ke empat jam dibandingkan tempoh perjalanan pada bukan musim perayaan. Kesesakan mungkin sebab ramai balik (bertolak) pada masa sama jadi kenderaan bertambah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keadaan jalan adalah baik dan tiada kemalangan diligat sepanjang perjalanan. -KOSMO! ONLINE.