TOPEKA, KANSAS – Seorang pengasuh berdepan detik cemas apabila menemui seorang lelaki tidak dikenali bersembunyi di bawah katil kanak-kanak jagaannya dalam kejadian di negeri Kansas, lapor akhbar Metro UK semalam.
Insiden berlaku sekitar pukul 10.30 malam (waktu tempatan) di sebuah kejiranan dekat bandar Great Bend, Isnin lepas.
Situasi itu terbongkar apabila kanak-kanak tersebut mengadu ada ‘raksasa’ di bawah katilnya, demikian menurut Pejabat Sherif Barton.
“Ketika wanita itu cuba membuktikan sebaliknya, dia bersemuka dengan seorang lelaki yang sedang bersembunyi.
“Mereka bergelut. Lelaki itu kemudian melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.
Menurut pengasuh berkenaan, suspek dikenal pasti sebagai Martin Villalobos Jr, 27, yang pernah tinggal di rumah tersebut tetapi diperintah oleh pendakwa raya untuk menjauhkan diri.
“Suspek ditahan di kawasan sama dan dibawa ke Penjara Barton,” tambah polis. – AGENSI