KLANG – Harga daging babi di seluruh negara dijangka meningkat susulan jangkitan wabak demam babi Afrika (ASF) di ladang ternakan terutama Selangor.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ribuan ekor haiwan itu terpaksa dilupuskan di Sepang dan Kuala Langat seperti yang pernah berlaku di Melaka sebelum ini.
“Masyarakat bukan Islam bakal menghadapi masalah harga daging babi meningkat susulan banyak ladang dijangkiti penyakit itu.
“Kita bersimpati kepada mereka yang memakan daging itu kerana harganya amat tinggi dan bergantung kepada import,” katanya selepas merasmikan program Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas di sini, hari ini.
Sebelum ini, sebanyak 58 ladang di Selangor disahkan positif jangkitan ASF dengan 14,000 ekor haiwan itu selesai dilupuskan setakat ini.
Mengulas lanjut, kata Mohamad, kerajaan sedang berusaha mencari jalan supaya penternak dapat terus menternak babi baharu. – KOSMO! ONLINE